Piala Emas: Kelantan yakin mampu mara

Oleh Farizal Yusoff   9 Oktober 2017 62
Piala Emas: Kelantan yakin mampu mara
Ketua jurulatih Kelantan, Kamaruddin Mohamad, yakin pasukan kendaliannya mampu lolos ke separuh akhir biarpun sekadar menang tipis 2-1 ke atas Felda United dalam saingan suku akhir pusingan pertama Piala Emas Raja-Raja di Stadium Sultan Muhammad IV, malam kelmarin.

Katanya, pemain telah memberikan yang terbaik mencari bekalan selesa menjelang pertemuan kedua di Jengka, namun sedikit kelekaan di benteng pertahanan Kelantan memberikan gol semangat kepada pihak lawan.

“Alhamdulillah, pemain beraksi dengan baik sehingga mampu mencatat kemenangan di gelanggang sendiri. Namun, sedikit kelalaian benteng pertahanan (dalam 10 minit terakhir), kita dihukum dan Felda mendapat gol semangat.

“Biarpun menang tipis, saya yakin keinginan pemain untuk mara ke separuh akhir Piala Emas Raja-Raja menjadi motivasi terbaik menjelang suku akhir kedua, 14 Oktober depan,” katanya.

Kelantan yang diwakili oleh pemain skuad Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) turun penuh semangat mencari gol pendahuluan bagi meningkatkan tekanan kepada pelawat.

Peluang terbaik hadir pada minit ke-23 apabila sepakan Mohd Masri Asyraf Samsudin berjaya menewaskan penjaga gol Felda United, Amirul Ashraf, namun sempat dikuis keluar oleh pertahanan, Saifuddin Khairil Anuar.

Kelantan memecah kebuntuan jaringan dalam babak kedua apabila penyerang, Mohd Masri, berjaya menanduk masuk hantaran lintang rakan sepasukan pada minit ke-54.

Kelantan terus selesa di depan apabila penyerang, Wan Mohd Alif Wan Jasmi, menceriakan penyokong tuan rumah apabila mudah menanduk masuk untuk gol kedua pada minit ke-79.

Selang dua minit, Felda United mendapat gol semangat apabila Mohd Arrieffahmi Mohd Azam berjaya memerangkap penjaga gol Kelantan, Mohd Fahmie Hussein dengan sepakan lambung.

Kelantan akan membuat perhitungan sekali lagi dengan skuad kendalian Shaiful Amin Abd Ghani di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.

Tentang Penulis

Farizal Yusoff  

Komen