Pengendali Al Sadd, Xavi, berang dengan anak buahnya selepas mereka ditewaskan ES Tunis 6-2 dalam aksi Piala Dunia Kelab awal pagi tadi.

Juara Qatar itu ditundukkan hasil ledakan hatrik penyerang, Hamdou Elhouni, sehingga menyebabkan Xavi menyifatkan persembahan mereka sebagai sesuatu yang sangat mengecewakan dalam aksi play-off penentuan tempat kelima di Stadium antarabangsa Khalifa, Doha itu.

Al Sadd mengharungi sebahagian besar perlawanan dengan 10 pemain selepas pertahanna, Abdelkarim Hassan, menahan bola dengan tangan sehingga dilayangkan kad merah.

Namun, Xavi tidak berselindung dalam sidang media, apabila berkata: "Saya sangat sedih, kecewa dan marah kerana kami beraksi dengan baik dalam dua perlawanan sebelum ini.

"Ini adalah ganjaran buat kami dan saya tidak dapat memahami persembahan pasukan hari ini. Bukan ini yang kami mahu.

"Kami adalah Al Sadd dan beraksi menentang juara Afrika. Namun, disiplin kami dalam 20 minit pertama tidak boleh diterima."

Bekas bintang Barcelona dan Sepanyol, Xavi, yang mengendalikan pasukan itu sejak Mei lalu selepas empat tahun mewakili Al Sadd, melihat peningkatan daripada pemain selepas Hassan dibuang padang.

"Selepas kad merah, kami bermain dengan baik," katanya.

"Kami tampil dengan kepantasan dan disiplin yang tinggi.

"Saya tidak boleh terima 30 minit yang pertama, mustahil untuk menerimanya. Saya sangat marah, kami perlu cari penyelesaian. Ia satu keputusan yang buruk.

"Kami perlu bangkit. Kami dalam detik yang buruk kerana gagal bersaing dengan baik tetapi hasrat kami mahu menjuarai saingan tempatan dan bermula dengan baik dalam Liga Juara-Juara Asia.

"Kejohanan ini adalah satu hadiah. Kini, kami perlu kembali."