LIVERPOOL 2 MONTERREY 1

Mohamed Salah berpendapat pemain Liverpool tidak dilindungi daripada taktikal Monterrey yang sangat agresif ketika The Reds mencatat kemenangan 2-1 dalam separuh akhir Piala Dunia Kelab awal pagi tadi.


Liverpool mara ke final Piala Dunia Kelab di Doha, Qatar selepas pemain gantian, Roberto Firmino, menyumbat gol kemenangan pada minit ke-91 untuk menewaskan lawan.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu meraih pendahuluan hasil jaringan Naby Keita tetapi tanpa kelibat Virgil van Dijk yang terpaksa diketepikan akibat masalah kesihatan, Rogelio Funes Mori mudah mencipta gol penyamaan sehingga memaksa penjaga gol, Alisson, menampilkan persembahan cemerlang bagi mengekalkan kedudukan.

Salah berpendapat The Reds berhak menang walaupun dia tidak gembira dengan cara pengadil dari Chile, Roberto Tobar, mengendalikan perlawanan serta corak permainan Monterrey.

Dua pemain kelab Mexico itu, Jesus Gallardo dan Leonel Vangioni -- dilayangkan kad kuning tetapi Liverpool mencatat 13 kesalahan berbanding sembilan oleh lawannya itu.

"Saya rasa ia aksi yang sengit," kata Salah.

"Mereka sangat agresif dan semua pemain merungut tentang keadaan kaki. Mereka memang sangat agresif.

"Saya fikir pengadil tidak melindungi kami dengan baik tetapi saya bukan berada di sini untuk merungut tentangnya.

"Saya fikir akhirnya kami pamerkan kualiti dan menang di minit-minit akhir. Saya fikir kami berhak."

Dalam masa sama, bintang Mesir itu juga menjadi tumpuan dalam aksi di Qatar dan dinamakan selaku pemain terbaik perlawanan selepas membantu Keita menghasilkan gol pertama dan memainkan peranan penting dalam jaringan kemenangan Firmino.

"Saya fikir kesemua penonton hari ini datang dari Mesir," tambahnya.

"Saya boleh mendengarnya dan menerima sokongan di mana-mana. Saya gembira.

"Saya sentiasa rasa disayangi apabila mereka memanggil nama, membuatkan diri rasa disokong oleh mereka. Saya gembira mendengarnya daripada peminat."