Santiago Solari memuji aksi hebat Gareth Bale selepas bintang Wales itu mencatat hatrik bagi memastikan Real Madrid melangkah ke final Piala Dunia Kelab.

Awal pagi tadi, Bale menyerlahkan persembahan memukau untuk meletakkan nama dalam senarai penjaring sebanyak tiga kali ketika menundukkan pemenang Liga Juara-Juara Asia, Kashima Antlers, 3-1, di Stadium Zayed, Abu Dhabi, sekali gus menempah tiket final berdepan Al Ain.

Solari pantas memuji aksi Bale -- yang menyumbat dua gol ketika final Liga Juara-Juara Eropah menentang Liverpool, Mei lalu -- di atas sumbangannya ketika beraksi di pentas besar.

"Saya gembira dengan tiga gol yang disumbat Bale serta tahap konsisten yang dipamerkan seluruh pasukan," kata Solari.

"Bale meraih segalanya, termasuk perhatian, pentas serta gol. Dia melalui perlawanan yang hebat, membuktikan kemampuan serta statusnya.

"Akhirnya, pemain yang bertanggungjawab dengan prestasi semestinya bintang bola sepak.

"Bale memberikan nikmat bola sepak kepada Madrid dan tampil hebat dalam detik penting. Apa yang mendominasi bola sepak adalah jaringan dan Bale melakukannya."

Madrid menyasarkan untuk menjulang trofi Piala Dunia Kelab buat kali keempat serta kali ketiga berturut-turut dan Solari berbesar hati dengan aksi anak buahnya dalam separuh akhir itu.

"Kami beraksi seolah-olah ia adalah final," tambahnya.

"Saya pasti Sabtu nanti kami akan melakukan perkara sama atau lebih baik kerana ia final sebenar. Kami mahu menamatkan tahun ini dengan satu lagi hadiah, iaitu trofi Piala Dunia Kelab yang ketiga berturut-turut."