Jurgen Klopp masih belum pasti sama ada Virgil van Dijk dapat mengatasi masalah kesihatannya untuk memperkuatkan Liverpool dalam aksi final Piala Dunia Kelab menentang Flamengo, Sabtu ini.

Awal pagi tadi, Van Dijk terlepas kemenangan 2-1 ke atas Monterrey tatkala The Reds memerlukan jaringan dalam waktu kecederaan daripada pemain gantian, Roberto Firmino, untuk memastikan tempat dalam final di Doha.

Tatkala Joel Matip dan Dejan Lovren kini ditimpa kecederaan, Liverpool menggunakan kapten, Jordan Henderson, yang sering bertindak selaku pemain tengah, untuk mengisi kekosongan bek tengah bersama Joe Gomez.

Kedua-dua pemain itu mungkin terpaksa bergandingan sekali lagi menentang Flamengo jika Van Dijk tidak kembali sambil skuad kendalian Klopp itu berkemungkinan diperkuatkan oleh barisan pemain muda yang tewas 5-0 di tangan Aston Villa dalam Piala EFL awal pagi semalam.

Ditanya sama ada Van Dijk akan kembali dalam aksi final, Klopp memberitahu BBC Sport: "Kami tidak pasti, sejujurnya.

"Kami fikir apabila kami datang ke sini, dia akan berada dalam keadaan baik tetapi sebaliknya berlaku.

"Lihat nanti, saya tidak tahu. Kami membawa beberapa pemain muda seperti Sepp van den Berg dan Ki-Jana Hoever sambil Harvey Elliot akan hadir esok. Lihat nanti apa yang boleh dilakukan dalam kesebelasan utama."

Firmino, Trent Alexander-Arnold dan Sadio Mane masing-masing memulakan aksi awal pagi tadi dari bangku simpanan.

Namun, selepas Rogelio Funes Mori memadamkan jaringan pendahuluan Naby Keita, kemungkinan terpaksa beraksi dalam masa tambahan tampak berbahaya memandangkan Liverpool berdepan jadual padat dalam bulan ini.

Namun, The Reds diselamatkan oleh hantaran lintang Alexander-Arnold pada minit ke-91 yang disempurnakan Firmino untuk mengesahkan kemenangan dalam waktu sebenar.

"Kami mengawal permainan untuk tempoh yang lama dalam babak pertama," tambah Klopp.

"Kami beraksi dengan baik untuk mengawal permainan berdasarkan kesebelasan utama yang diturunkan kerana kami tidak mempunyai ramai pertahanan, itu masalahnya.

"Sudah tentu mereka mempunyai serangan balas. Apa yang anda perlukan akhirnya adalah Alisson Becker. Dia sentiasa ada pada saat-saat penting."