AL HILAL 1 ES TUNIS 0

Bafetimbi Gomis berkata Al Hilal mampu mara ke final Piala Dunia Kelab selepas muncul wira dengan meledak gol tunggal perlawanan dalam kemenangan suku akhir ke atas ES Tunis awal pagi tadi.

Bekas penggempur Lyon, Marseille dan Galatasaray itu muncul sebagai pemain gantian dalam babak kedua dan melepaskan tendangan voli di penjuru petak penalti ketika permainan bersisa 17 minit untuk menempah pertemuan dengan juara Amerika Selatan, Flamengo.

Gomis, yang dalam pemulihannya terhadap siri masalah hamstring, membuktikan pelaburan Al Hilal yang bernilai €6 juta (RM27.5j) itu menerusi gol pentingnya.

"Ini adalah usaha sepasukan yang baik," kata penyerang itu, yang menjaringkan gol dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara Asia (AFC) bulan lalu, kepada pemberita.

"Saya gembira dapat membantu pasukan. Semua pemain beraksi dengan sangat baik. Saya gembira dapat menjaringkan gol itu.

"Saya sangat gembira kerana bekerja keras untuk kembali ke peringkat ini, saya menjalani pembedahan dan memerlukan masa untuk kembali, jadi saya sangat gembira."

Gomis memberi amaran kepada rakan sepasukannya bahawa mereka akan menghadapi lawan lebih mantap di peringkat separuh akhir, awal pagi Rabu ini, namun kemenangan tipis itu telah menyuntik keyakinan kepada Al Hilal.

"Ia akan menjadi perlawanan yang menarik di antara dua pasukan gergasi," kata pemain berusia 34 tahun itu.

"Flamengo memiliki kualiti tinggi dan pengurus yang hebat.

"Kami tidak begitu mengenali mereka. Sebelum bertemu Flamengo, kami perlu menewaskan ES Tunis, kami telah melakukannya. Kami harap dapat tampil baik baik dan menang ke atas Flamengo.

"Semuanya boleh dilakukan dalam bola sepak, kami juga mempunyai kualiti."

Keputusan lain:

MONTERREY 3 AL SADD 2