Flamengo berpeluang untuk menewaskan pemenang Liga Juara-Juara Eropah, Liverpool, dalam final Piala Dunia Kelab, kata bekas bintang Brazil, Julio Cesar dan Bebeto.

Juara Copa Libertadores, Flamengo, mempamerkan kebangkitan untuk menewaskan Al Hilal 3-1 dalam separuh akhir kelmarin tatkala Liverpool mengatasi halangan Monterrey 2-1 hasil jaringan
kemenangan Roberto Firmino semalam.

Jaringan minit akhir Gabriel Barbosa membolehkan Flamengo yang dibimbing Jorge Jesus itu mengecewakan River Plate dalam final Copa Libertadores, November lalu.

Bekas penjaga gol Inter Milan dan Brazil, Cesar, beraksi dalam perlawanan itu dan mengakhiri karier seniornya bersama Flamengo dan dia percaya bekas pasukannya itu mampu sekali lagi menghadirkan kekecewaan buat lawan dalam perlawanan di Doha awal pagi Ahad ini.

"Flamengo mempunyai peluang untuk meraih kejuaraan. Mereka sangat yakin dan akan berdepan Liverpool, sebuah pasukan yang semua maklum sangat kuat," katanya.

"Namun, Flamengo mempunyai semua sifat untuk memenangi pertemuan ini. Mereka telah tampilkan aksi bola sepak yang hebat tahun ini.

"Sejak kehadiran Jesus, pemain pantas memahami falsafah dan corak permainannya, menjadikan Flamengo juara dalam dua pertandingan, Kejuaraan Brazil dan Cope Libertadores. Flamengo akan menuju final ini dengan penuh keyakinan."

Seorang lagi bekas pemain Flamengo dan Brazil, Bebeto, turut berkongsi pendapat sama seperti Cesar sambil menegaskan kelab itu akan menerima sokongan daripada seluruh negaranya.

"Saya harus tekadkan hati, sesuatu yang menyeronokkan melihat Flamengo berada dalam pertarungan merebut kejuaraan dunia buat kali kedua selepas 38 tahun," katanya.

"Saya mahu segalanya berjalan lancar dan kami boleh memenangi pertemuan ini kerana ia sangat penting. Bukan hanya untuk peminat Flamengo tetapi seluruh warga Brazil.

"Flamengo beraksi dengan baik, mereka akan bertarung untuk mendapatkan kejuaraan ini. Ia bakal jadi aksi getir, semua orang tahu. Liverpool adalah pasukan hebat, mereka pemenang Liga Juara-Juara sambil kami mengungguli Copa Libertadores serta Kejuaraan Brazil.

"Jadi, ayuh, kami harus sentiasa percaya."