Ketua pasukan Peru, Paolo Guerrero, berpeluang beraksi dalam Piala Dunia Russia selepas penggantungan akibat doping dikurangkan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Pemain berusia 33 tahun itu digantung selama setahun pada awal bulan ini selepas dia diuji positif untuk kokain dalam kelayakan Piala Dunia pada Oktober lalu.

FIFA pada awalnya menangguhkan rayuannya terhadap pertuduhan itu selepas Jawatankuasa Rayuan FIFA mendengar kesnya. Larangannya kemudian dikurangkan kepada enam bulan, yang bermakna dia layak beraksi semula pada Mei tahun depan.

Menurut kenyataan FIFA: "Selepas mengambil kira semua keadaan kes itu, khususnya tahap kesalahan pemain, Jawatankuasa Rayuan FIFA memutuskan penggantungan selama enam bulan."

Sampel Guerrero diuji positif mengandungi benzoylecgonine metabolit kokain selepas beraksi menentang Argentina pada 5 Oktober lalu dan dia serta-merta digantung selama tempoh 30 hari sehingga mengetepikannya untuk menyumbang dalam kemenangan play-off ke atas New Zealand.

Penggantungannya berkuat kuasa pada 3 November dan ini bermakna dia layak untuk beraksi dalam pusingan akhir Piala Dunia di Russia yang bermula Jun depan.

Guerrero, yang bermain untuk Flamengo, menjaringkan lima gol dalam pusingan kelayakan untuk membantu pasukannya meraih tempat kelima zon kelayakan Amerika Selatan (CONMEBOL).