Hasrat lima negara ASEAN untuk menggembleng tenaga bagi membida hak tuan rumah Piala Dunia 2034 adalah perkara mustahil dan perkara itu disuarakan Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul.

Tidak bermaksud untuk menidakkan usaha yang sedang dilakukan pihak kerajaan, beliau sebaliknya menyatakan pendapat berdasarkan pandangannya bagi badan induk berkenaan yang arif dengan format kelayakan selain proses yang perlu dilalui.

Menurutnya, adalah mustahil lima daripada lapan slot untuk mewakili benua ini terpaksa dikorbankan demi memberi laluan kepada pasukan yang bakal menjadi negara tuan rumah selain faktor di ranking yang lebih rendah.

Walaupun usaha berkenaan baru sahaja bermula, Windsor tidak mahu berselindung bahawa ia hanyalah usaha yang mustahil.

"Adalah mustahil, mustahil, mustahil kalau kelima-lima pasukan penganjur ingin bermain dalam Piala Dunia.

"Ini bermakna (mereka telah mengambil) lima tempat automatik dan dengan itu, tinggal tiga slot lagi untuk direbut pasukan gergasi Asia seperti Jepun, Korea Selatan, Iran dan Arab Saudi.

"Ia tidak realistik," katanya di Rumah AFC, Bukit Jalil, semalam.

Hasrat untuk membida penganjuran berkenaan disuarakan kerajaan sejak 2018, namun sehingga saat ini, tiada sebarang rujukan khusus dibuat kepada AFC walaupun peranan organisasi Asia itu penting dalam proses bidaan.

"Mungkin sudah ada perbincangan (di antara pihak kerajaan) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), itu kami tidak pasti.

"Tetapi kami juga faham bahawa FIFA ingin membawa penganjuran Piala Dunia ke seluruh pelusuk dunia.

"Kami juga ingin mengambil kira visi FIFA. Mungkin ia dianggap sebagai bidaan yang baik tetapi harus diingat, proses bidaan juga akan melalui kongres FIFA."