TOTTENHAM HOTSPUR 2 WEST HAM UNITED 3

Hasrat Tottenham Hotspur untuk merangkul kejuaraan Piala Liga pada musim ini terpaksa dilupakan selepas tewas mengejut 2-3 di tangan pasukan yang bergelut dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), West Ham United, dalam pusingan keempat yang berlangsung di Stadium Wembley, awal pagi tadi.


Spurs yang kini menduduki tangga ketiga liga, bagaimanapun, terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Moussa Sissoko, selepas pemain tengah Perancis itu menyempurnakan bola lorongan Son Heung-Min untuk menewaskan Adrian pada minit kelima perlawanan.

Skuad kendalian Mauricio Pochettino itu terus memberikan tekanan buat pengurus West Ham, Slaven Bilic, apabila menambah gol kedua pada minit ke-37, kali ini menerusi Dele Alli.

Hantaran pendek dalam kotak penalti oleh Heung-Min memberikan ruang buat Alli untuk melepaskan satu percubaan yang bola terkena badan pertahanan Hammers, Declan Rice, sebelum masuk ke gawang dan kedudukan 2-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung babak kedua, West Ham kembali menyusun permainan dan usaha itu berhasil 10 minit kemudian apabila Andre Ayew berjaya menolak masuk bola muntah daripada percubaan Edimilson Fernandes.

Ayew sekali lagi membuatkan Bilic menarik nafas lega pada minit ke-60 apabila menyempurnakan hantaran dari sebelah kiri daripada Manuel Lanzini untuk menjaringkan gol penyamaan buat Hammers.

Belum sempat Spurs kembali mendapatkan semula rentak, pertahanan Itali, Angelo Ogbonna, muncul wira buat West Ham apabila menanduk bola masuk gol kemenangan hasil sepakan percuma Lanzini lima minit kemudian dan kedudukan 3-2 kekal sehingga wisel penamat ditiupkan.

Kemenangan itu menyaksikan West Ham menempah tiket ke peringkat suku akhir dan menyertai juara bertahan, Manchester United, sementara Spurs terus kempunan untuk mengulangi kejayaan menjuarai Piala Liga pada tahun 2008.


Lapan pasukan yang layak ke suku akhir Piala Liga (Carabao) musim 2017/18:

Bournemouth
Arsenal
Bristol City
Leicester City
Manchester United
Manchester City
Chelsea
West Ham United