CHELSEA 2 EVERTON 1

Dua gol, masing-masing satu daripada setiap babak, membolehkan Chelsea mencatat kemenangan 2-1 ke atas Everton dalam aksi pusingan keempat Piala Carabao di Stamford Bridge, awal pagi tadi.


Everton yang kini dikendalikan oleh David Unsworth susulan pemecatan Ronald Koeman, hujung minggu lalu, dikejutkan dengan gol pembukaan tuan rumah oleh Antonio Rudiger pada minit ke-26.

Pertahanan dari Jerman itu melonjak tinggi dari sudut sukar untuk menyudahkan hantaran lintang Charly Musonda bagi memberikan pendahuluan 1-0 buat The Blues.

Penjaga gol Chelsea, Willy Caballero, bertindak cemerlang apabila menggagalkan sepakan percuma Leighton Baines pada minit ke-68 sebelum sekali lagi mempamerkan aksi memukau menafikan percubaan jarak dekat Aaron Lennon seminit kemudian.

Hantaran satu dua di antara Willlian dan Cesc Fabregas berjaya menambah gol kedua buat tuan rumah pada minit ke-90 selepas pemain sayap Brazil itu tenang melepaskan rembatan leret untuk sekali lagi menewaskan penjaga gol pelawat, Jordan Pickford.

Tatkala keputusan dilihat bakal berakhir 2-0, pemain muda, Dominic Calvert-Lewin, berjaya menjaringkan gol sagu hati buat anak-anak buah Unsworth ketika permainan memasuki waktu kecederaan, namun segala-galanya sudah terlambat untuk menafikan kemaraan skuad kendalian Antonio Conte ke suku akhir.

Musim lalu, Chelsea gagal menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik Piala Liga setelah tunduk 1-2 di tangan West Ham United hasil jaringan Cheikhou Kouyate dan Edimilson Fernandes.