Piala Cabaran: UKM FC serius mahu bawa pulang trofi

Oleh Tengku Danish Bahri 15 Oktober 2018 132
Piala Cabaran: UKM FC serius mahu bawa pulang trofi
Pengendali UKM FC, Sulaiman Hussin, yakin skuad kendaliannya mampu menamatkan perlawanan akhir kedua Piala Cabaran menentang Terengganu FC (TFC) II, malam ini, selaku juara sulung.

Dia menjelaskan kelebihan dua gol di tempat lawan yang  dimiliki TFC II tidak menggugat UKM yang menurutnya bersedia mematikan perjuangan pihak lawan dalam tempoh 90 minit permainan.

Malah, rekod tiga kekalahan dan dua kali seri dalam lima perlawanan bertemu TFC II sebelum ini juga tidak menjadikan TFC II pasukan pilihan walaupun mengakui akan berdepan saingan sengit.

"Kehadiran kami ke Kuala Terengganu bukan untuk makan angin, sebaliknya membawa pulang trofi kejuaraan.

"Pemain-pemain juga berkongsi hasrat yang sama dan UKM FC bersedia mempamerkan rentak terbaik," jelas bekas pemain Kuala Lumpur itu.

Sementara itu, Sulaiman turut melahirkan hasrat membawa UKM FC ke kancah Liga Super dalam tempoh tiga tahun sambil mengesahkan beberapa kelab sudah mula merisik tonggak utamanya.

Dia juga mengakui turut berdepan masalah kewangan pada pertengahan musim ini tetapi prestasi cemerlang UKM mampu membuka mata penaja untuk meringankan beban pasukan tersebut.

"Pasukan ini dibarisi pelajar-pelajar sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah dari UKM. Kami cukup bersemangat dan secara realisitik, saya menyasarkan UKM FC ke Liga Super dalam tempoh tiga tahun," tambah Sulaiman.

Tentang Penulis

Tengku Danish Bahri

Komen