Jurulatih Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) FC, Sulaiman Hussein, lebih gemar jika final Piala Cabaran hanya dilangsungkan sekali berbanding format timbal balik, namun menghormati apa jua keputuan muktamad Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Berdasarkan tarikh rasmi yang dikeluarkan MFL, final Piala Cabaran akan diadakan di Stadium UKM pada Isnin ini dan final kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, pada 15 Oktober.

Bagaimanapun, Sulaiman melihat perlawanan akhir itu akan lebih berprestij jika dilangsungkan sekali sahaja di venue berkecuali.

Namun, jika perlu beraksi dua kali di pentas final, Sulaiman mendedahkan pemain-pemainnya sudah bersiap sedia mengharungi aksi mencabar untuk 180 minit.

"Saya secara peribadi memilih satu aksi final kerana ia lebih berprestij tetapi kami tetap menerima setiap peraturan yang ditetapkan pihak pengurusan," katanya.

Mengenai kejutan UKM mara ke perlawanan akhir, Sulaiman mendedahkan usaha pihak pengurusan menjelaskan tunggakan gaji berbaki tiga bulan telah mempertingkatkan moral pemain.

Justeru, beliau memohon pemain agar jangan gentar bertemu Terengganu FC II yang diletak sebagai pilihan selepas belum tewas di pentas Piala Cabaran setakat ini.

"Pemain-pemain lebih ceria dan bersemangat selepas menerima tunggakan gaji sebelum ini. Kami juga terkejut apabila berjaya menewaskan Johor Darul Ta'zim (JDT) II kerana mereka adalah pasukan berkualiti," tambahnya.