UKM 1 JDT II 0
(JDT II menang menerusi penentuan penalti 6-5)

Tiada tuah kali kedua buat UKM apabila mereka terpaksa akur dengan kekalahan dalam aksi final kedua Piala Cabaran kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) II menerusi penentuan sepakan penalti di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras malam ini.


JDT II meraih kelebihan tipis selepas merakamkan kemenangan 1-0 ke atas UKM dalam aksi final pertama di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Jumaat lalu.

Kehadiran Fadhli Shas dan Ahmad Hazwan Bakri memperkuatkan skuad kendalian Ervin Boban itu dalam final kedua yang berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, namun kedua-dua pasukan gagal mencipta sebarang jaringan dalam separuh masa pertama.

Ketika JDT II kerap melancarkan serangan ke kubu pertahanan lawan, UKM yang dikendalikan penolong jurulatih, Juzaili Samion, berjaya meledak jaringan pada minit ke-81 apabila hantaran silang Milad Zanidpour berjaya ditampan masuk Mateo Roskam untuk menjadikan kedudukan agregat 1-1 dan membawa perlawanan ke masa tambahan.

Tonggak import JDT II, Nicholas Fernandez, terlebih dahulu gagal menyempurnakan sepakan penalti buat pelawat, namun Haziq Nadzli menampan dua percubaan terakhir UKM sebelum Fadhli menoktahkan kemenangan serta kejuaraan pertama buat JDT II.