Ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Ervin Boban, mendedikasikan kejayaan meraih Piala Cabaran kepada pemilik JDT, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim, yang sering memberi inspirasi kepada pemain Harimau Selatan itu untuk melakukan yang terbaik dalam semua pertandingan.

Boban, yang bermain untuk Johor dari 1989 hingga 1995, berkata Tunku Mahkota Johor (TMJ) telah menyumbang banyak kepada kedua-dua JDT dan JDT II dan kejayaan memenangi trofi itu adalah cara terbaik untuk menghargai pengorbanan baginda.

JDT II memenangi edisi kedua Piala Cabaran selepas menewaskan UKM FC 6-5 dalam penentuan sepakan penalti apabila kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas perlawanan final kedua di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras, malam tadi.

"Tanpa Tunku Mahkota Johor, ini (kemenangan) mungkin mustahil kerana sejak dari mula lagi, baginda memberi sokongan penuh daripada segi kemudahan (yang terbaik) hinggalah kepada pemain.

"Saya berpendapat kami perlu memberi sesuatu kepadanya (Tunku Mahkota Ismail) sebagai balasan pada akhir musim ini," katanya dalam sidang media selepas perlawanan, malam tadi.

Boban juga berkata, kemenangan itu meredakan kekecewaan skuad Harimau Selatan itu setelah tewas kepada Sabah dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana musim ini.

Dalam hubungan ini, jurulatih dari Croatia berusia 54 tahun itu juga berasa amat gembira selepas memenangi trofi Piala Cabaran sebagai jurulatih setelah memenangi Piala Malaysia sebagai pemain Johor pada 1991.

Sementara itu, pemain tengah JDT II, S. Kumaahran, menyifatkan kemenangan itu tidak mudah kerana UKM FC memberikan tentangan sengit.

Pemain berusia 23 tahun itu turut berterima kasih kepada Tunku Mahkota Ismail yang banyak memberi kata-kata semangat kepada pemain JDT II untuk kembali bangkit selepas tewas kepada Sabah dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana 2019.

"Perjalanan kami pada musim ini ada naik dan turun. Kami hampir menang Piala Liga Perdana tetapi kekalahan kepada Sabah meranapkan harapan kami, namun kemenangan ini adalah pencapaian terbaik kami," jelas pemain skuad Bawah 23 (B-23) kebangsaan itu.

Sementara itu, penolong jurulatih UKM FC, Muhammad Juzaili Samion, menghamburkan pujian kepada pemain skuad 'The Varsity Boys' yang mempamerkan tentangan sengit kepada JDT II, namun mengakui sedikit terkilan gagal mendakap Piala Cabaran buat julung kalinya.

Untuk rekod, UKM FC tewas dengan keputusan agregat 2-4 kepada Terengganu FC II dalam dua aksi final edisi sulung Piala Cabaran musim lalu.

"Tak ada apa yang perlu dimalukan kerana pemain dah beri yang terbaik, sepakan penalti itu adalah penentuan nasib dan pemain perlu berbangga kerana mereka sudah buktikan dalam perlawanan ini walaupun rata-rata mereka terdiri daripada pelajar UKM itu sendiri," jelas Muhammad Juzaili yang juga bekas pemain kebangsaan.

Berbeza pula dengan pandangan penjaga gol UKM FC, Khatul Anuar Md Jalil, yang kecewa gagal membantu pasukan berkenaan meraih kejuaraan sulung Piala Cabaran.

"Untuk 120 minit, kami dah bagi yang terbaik tetapi sebagai penjaga gol, saya kecewa kerana gagal memainkan peranan baik untuk membantu pasukan tetapi saya puji rakan sepasukan yang tunjukkan karakter sebagai satu pasukan terbaik sejak dari awal perlawanan," kata Khatul Anuar yang dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan akhir.

-- BERNAMA