SELANGOR 0 BANGKOK UNITED 0
(Bangkok United menang menerusi penentuan sepakan penalti 4-2)

Hasrat Selangor untuk bergelar juara sulung Piala Cabaran Asia lebur selepas tewas 4-2 menerusi sepakan penalti kepada Bangkok United dalam aksi di Stadium Shah Alam sebentar tadi.


Selepas pertemuan Persib Bandung dan Hanoi FC di sebelah petang terpaksa dihentikan akibat hujan dan pengadil mengesahkan kemenangan 2-0 berpihak kepada wakil Indonesia itu, Selangor dan Bangkok meneruskan aksi final dalam edisi pertama kejohanan.

Berbanding dalam perlawanan menentang Persib Bandung, Selangor kendalian B. Sathianathan itu meletakkan Wan Zack Haikal Wan Noor di bangku simpanan tetapi mengekalkan penyerang utama, Ifedayo Olusegun.

Percaturan itu tampak membuahkan hasil buat Gergasi Merah ketika permainan baru berusia empat minit apabila hantaran lambung Sandro Da Silva memerangkap Thossawat Limwannasathian sehingga membolehkan Ifedayo berdepan situasi satu lawan satu dengan Michael Falkesgaard.

Walaupun penjaga gol kelahiran Denmark itu tertewas, permukaan padang akibat hujan lebat sebelum itu menyebabkan bekas penyerang Melaka, Ifedayo, sekadar melepaskan rembatan kaki kiri yang lemah dan tersasar ke sebelah kanan gawang.

Hantaran satu dua Syahmi Safari dan Ifedayo lima minit kemudian juga menembusi benteng lawan tetapi kali ini Falkesgaard cemerlang menepis bola percubaan pemain Harimau Malaya itu.

Dihidangkan deretan peluang untuk mendahului, tuah tetap tidak menyebelahi anak buah Sathianathan tatkala lawan bimbingan Alexander Poelking itu hampir mengejutkan tuan rumah menerusi percubaan Chayathorn Tapsuvanavona yang sipi dari gawang.

Gagal meledakkan sebarang gol sebelum rehat, Sathianathan mengambil langkah membawa masuk Wan Zack Haikal dan Halim Saari untuk mengukuhkan barisan tengah selepas sedar Brendan Gan bergelut untuk mencipta peluang buat barisan depan.

Wan Zack Haikal -- yang terpaksa berehat sepanjang musim lalu akibat kecederaan lutut -- hanya berupaya beraksi kurang daripada 25 minit tanpa mencetuskan sebarang impak selepas mengalami masalah di bahagian paha dan digantikan K. Sarkunan.

Kebuntuan jaringan dalam waktu sebenar memaksa perlawanan diheret ke penentuan sepakan penalti dan Pokklaw Anan mengesahkan kemenangan Bangkok selepas dua pemain gantian, Halim dan Zahril Azri Zabri, gagal menyempurnakan tendangan masing-masing.



Editor: Nafis Abdullah