TABS Kota Kinabalu muncul juara Kejohanan Bola Sepak Piala Borneo Malaysia B-12 selepas menundukkan pasukan dari Filipina, Dreaming Football United (DFU), 3-2 dalam final di Stadium Likas, Kota Kinabalu, petang tadi.

Kejayaan TABS Kota Kinabalu itu sekali gus menyekat hasrat DFU untuk muncul juara berganda selepas mereka memenangi kategori B-11 menewaskan sebuah lagi pasukan dari Malaysia, MMT Junior, semalam.

Penyerang utama TABS Kota Kinabalu, Al Kausal Jarah, muncul wira bagi pasukannya apabila meledak hatrik untuk mengesahkan kejuaraan mereka bagi kejohanan edisi ke-10 itu.

Al Kausah sebelum itu meletakkan pasukannya di hadapan dengan dua gol pada awal babak pertama sebelum DFU merapatkan jurang bagi menjadikan kedudukan 2-1.

Babak kedua pula menyaksikan pelajar darjah enam Sekolah Kebangsaan Tombovo Penampang itu melengkapkan hatriknya bagi menjadikan kedudukan 3-1 dan DFU cuba bangkit selepas itu, namun hanya berjaya memperoleh satu gol sehingga pengadil meniupkan wisel penamat dengan kedudukan akhir 3-2.

Sementara itu, pasukan dari Australia, St George City, muncul pemenang tempat ketiga selepas menewaskan TABS Menggatal 1-0.

Kejohanan tahunan yang diiktiraf Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) itu turut mempertandingkan kategori 13, 14, 15 dan 16 tahun ke bawah.

Pertandingan B-13 telah bermula di Stadium Penampang hari ini dan akan diteruskan di venue sama esok sebelum penentuan kedudukan pada Sabtu di Stadium Likas.

Kategori itu melibatkan 10 pasukan, iaitu South Hobart Australia, HKJFL, Indonesia Muda, Boca Juniors India, Tabs Malaysia, Turf City Singapura, SBAI Indonesia, DFU Filipina dan Sekolah Sukan Datuk Peter Mojuntin (Malaysia).

Kategori B-14 pula akan berlangsung pada 1-3 Oktober, B-15 (3-5 Oktober) dan B-16 (5-7 Oktober).