Piala Belia: Rekod bersih Kelantan lebur

Oleh Farizal Yusoff 4 Mac 2020 1118
Piala Belia: Rekod bersih Kelantan lebur
Kelantan 0 AMD B-16 1

Hajat tuan rumah, Kelantan, untuk mempertahankan rekod bersih lebur apabila tumpas 0-1 kepada Akademi Mokhtar Dahari (AMD) B-16 dalam saingan Kumpulan A (Zon Utara), Piala Belia di Stadium Sultan Muhammad IV  sebentar tadi.


Turun dengan misi memburu kemenangan ketiga berturut-turut, The Young Warriors (TYW) hampir dikejutkan dengan gol pembukaan pelawat melalui sepakan percuma cantik penyerang, Muhammad Aliff Izwan Yuslan, namun dinafikan penjaga gawang Kelantan, Mohamad Azri Haikal, pada minit ke-30.

Peluang terbaik TYW hadir melalui gerakan solo kapten, Muhammad Syahir Ab. Rashid, yang melepaskan rembatan kencang dan muntah daripada dakapan penjaga gawang, Zulhimi Sharani, namun dikeluarkan oleh pertahanan AMD pada minit ke-40.

Dalam babak kedua, penyerang, Muhammad Izrin Ibrahim, menyudahkan hantaran cantik Muhammad Aliff Irwan untuk menewaskan penjaga gol, Mohamad Azri, untuk gol pertama AMD pada minit ke-47.

Pada minit ke-65, penyerang TYW, Mohd Hafizan Ghazali, melepaskan peluang terbaik menyamakan kedudukan apabila rembatan lencongnya sedikit melepasi palang biarpun penjaga gol, Zulhilmi sudah tertewas.

Kelantan berusaha mencari gol penyamaan, namun segala gerakan mereka mudah dipatahkan benteng AMD, yang diketuai kapten, Adam Daniel Mohamad, untuk memberikan kekalahan pertama TYW.

Kredit Foto: Kelantan FA
 

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen