Kedah memiliki sebab tersendiri untuk meraikan sejarah layak ke final Piala Belia musim ini selepas mengecewakan Terengganu dalam separuh akhir, semalam.

Menurut jurulatihnya, Mohamad Ramlee, kejayaan itu ternyata memberikan kepuasan kepada kem Piala Belia negeri itu yang terkandas di peringkat separuh akhir sejak 2013.

"Ini adalah percubaan kali kelima dan kami tidak akan berhenti setakat ini. Sasaran seterusnya ialah muncul juara.

“Tahniah kepada pemain-pemain dan saya berbangga dengan komitmen yang ditunjukkan pemain untuk melaksanakan hajat Kedah mara ke final,” ujarnya.

Selain itu, penampilan pemain sayap, Muhamad Amirul Azman, 17, juga mencuri tumpuan apabila meledak dua gol, sekaligus menjadi pemusnah Terengganu.

“Beberapa pemain diketepikan kerana bersama skuad Piala Presiden dan skuad Liga Super, jadi ini adalah aksi sulungnya (Muhamad Amirul).

“Percaturan kami adalah mencari gol sebaik wisel permulaan dibunyikan dan ia berhasil dengan dua gol dicipta dalam 20 minit pertama,” tambah Mohamad.

Bagi Terengganu, mereka harus menyalahkan diri sendiri selepas beraksi di bawah tahap sebenar pada awal permainan, sekaligus membenarkan lawan menguasai tempo babak pertama.

Kekalahan itu diakui di luar jangkaan hingga menyaksikan kebangkitan yang diharapkan tidak menyusul, sebaliknya berputih mata di gelanggang sendiri.

“Kami bermula buruk dalam 45 minit pertama. Walaupun memperkemaskan rentak dalam separuh masa kedua, ia sudah terlambat,” kata pengurus pasukan Terengganu, Wan Zaulkfli Wan Gati.