Kedah mara ke perlawanan akhir Piala Belia selepas menang 3-2 ke atas Terengganu dalam separuh akhir kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, petang tadi, sekaligus mara dengan kelebihan jaringan di tempat lawan selepas terikat agregat 3-3.

Kedah melancarkan serangan dari awal permainan dan mendahului 1-0 selepas Muhammad Amirul Azwan menanduk masuk hantaran Mohd Alief Najmi Mohd Radzi pada minit ke-12.

Empat minit kemudian, Kedah semakin selesa dengan gol kedua, kali ini menerusi tandukan Muhd Asnawi Sonkurnain.

Terengganu kemudian merapatkan defisit jaringan 1-2 apabila dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-26 yang disempurnakan Muhd Syaiful Hakim Shahrul.

Jaringan tuan rumah itu tidak menyekat penguasaan Kedah untuk terus menyerang, menyaksikan dua sepakan percuma Mohd Khairuddin Mohd Salleh pada minit ke-36 dan minit ke-38 ditepis penjaga gol Terengganu, Muhd Syahmi Yunof.

Muhammad Amirul menjaringkan gol kedua peribadi dan gol ketiga Kedah pada minit ke-41 menerusi sepakan percuma yang mengelirukan Muhd Syahmi.

Bersambung babak kedua, penyerang Terengganu, Abdul Halim Hamzah, menghidupkan peluang mereka selepas tandukannya pada minit ke-64 hasil sepakan percuma Muhd Azrul Jaffri berjaya menerjah jaring.

Hasrat Terengganu untuk menyamakan kedudukan terus berkubur dengan barisan pertahanan Kedah terus gagah mempertahankan kedudukan sehingga wisel penamat.

Menanti Kedah dalam perlawanan akhir nanti ialah Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) yang mengecewakan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) dalam satu lagi separuh akhir.

SSMP menang bergaya 5-0 untuk mara dengan agregat 7-0.

Perlawanan akhir Piala Belia akan berlangsung pada 11 dan 16 Oktober ini.