Skuad bawah 19 tahun Kedah 'simpan kuku' apabila jurulatihnya, Mohamad Ramlee, mengesahkan khidmat bintang muda skuad Lang Merah, Akhyar Rashid, tidak akan digunakan untuk menentang Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) B-17 dalam perlawanan akhir pertama Piala Belia di Stadium UiTM, esok.

Akhyar, pemain muda yang meningkat naik selepas membarisi skuad B-22 negara bimbingan Datuk Ong Kim Swee pada usia 18 tahun, cemerlang membantu pasukan dalam kempen kelayakan Kejohanan AFC B-23 di Bangkok, Julai lalu, dan Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu.

Kudrat Akhyar juga ditagih skuad Piala Presiden Kedah baru-baru ini. Kini, khidmatnya ditagih skuad B-19 Kedah untuk Piala Belia.

"Saya fikir dia mampu bermain dengan taktikal yang saya buat tetapi kami menyimpannya untuk perlawanan akhir kedua.

"Harapan saya supaya dia dapat bermain dalam final kedua itu," kata Mohamad.

Sementara itu, jurulatih SSMP B-17, P. Somasundram, mengakui tidak gusar akan pendekatan taktikal lawan yang menyimpan Akhyar sambil menegaskan pasukannya sedia berdepan siapa sahaja pemain untuk mencapai kejuaraan sulung.

"Kami tiada masalah siapa yang akan bermain. Kami akan hadapi kerana ia kerja berpasukan. Bagi saya, kekuatan pasukan bergantung kepada kerja berpasukan.

"Itu yang penting. Jadi, saya tidak kisah siapa yang akan diturunkan. Saya tidak risau," katanya.

Kedua-dua pasukan akan berentap buat kali ketiga musim ini selepas dua perlawanan liga yang menyaksikan SSMP B-17 menang 2-1 dalam perlawanan pertama di Gambang dan Kedah menang 2-0 di Alor Setar.