Piala Belia: Kedah bawa bekalan selesa ke Alor Setar

Oleh Penulis Jemputan 12 Oktober 2017 2856
Piala Belia: Kedah bawa bekalan selesa ke Alor Setar
Biarpun tewas 2-3 dalam aksi final pertama Piala Belia di tangan Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) B-17, Kedah mampu menarik nafas lega kerana sekurang-kurangnya membawa bekalan dua gol untuk aksi kedua di Alor Setar. 

Menentang anak buah P. Somansundram di tempat lawan, skuad Kedah dikejutkan dengan gol pembukaan SSMP menerusi Noramirul Awang pada minit kelima.

Belum sempat Kedah mengatur gerakan, SSMP melebarkan kedudukan kepada 2-0 apabila Mohamad Nizarrudin Jazi menjaringkan gol kedua tuan rumah.

Selang lima minit kemudian, giliran kapten pasukan, Arif Shaqirin Suhaimi, menambah gol ketiga buat SSMP untuk terus mendahului 3-0.

Ketinggalan tiga gol nyata tidak membunuh semangat anak-anak buah Mohamad Ramlee apabila berjaya menjaringkan gol pertama buat skuad Hijau Kuning pada minit ke-26 menerusi Mohd Khairuddin Mohd Salleh.

Babak kedua menyaksikan Kedah lebih banyak mengawal permainan dan serangan demi serangan akhirnya membutirkan hasil apabila hantaran ketua pasukan, Muhamad Asnawi Sonkurnain, berjaya disempurnakan oleh Akmal Azmi pada minit ke-79, menjadikan kedudukan 3-2.

Kedudukan itu kekal sehingga ke wisel penamat dan bagi Ramlee, dia berpuas hati Kedah berjaya membawa bekalan dua gol bagi menghadapi perlawanan kedua di Alor Setar.

"Kelekaan di bahagian tengah membolehkan tuan rumah meraih tiga gol dalam 20 minit tetapi perubahan taktikal selepas itu berjaya mengubah corak permainan," ujar Mohamad.

"Saya nampak Kedah sudah mula mendapatkan bola dengan lebih awal dan memberikan tekanan, membuatkan pemain saya tampak lebih perlahan.

"Bagaimanapun, masih ada ruang yang perlu diperbaiki untuk perlawanan seterusnya," kata Somansundram.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen