Piala Asia 2027: Lima negara bida hak tuan rumah 

Oleh Bernama 1 Julai 2020 502
Piala Asia 2027: Lima negara bida hak tuan rumah 
Lima negara -- India, Iran, Qatar, Arab Saudi dan Uzbekistan -- telah menyatakan minat mereka untuk menganjurkan kejohanan bola sepak Piala Asia 2027 selepas tarikh akhir bidaan tamat semalam.

Presiden Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC), Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa, menyambut baik minat yang ditunjukkan lima negara berkenaan untuk menganjurkan kejohanan bola sepak utama Asia itu.

“Piala Asia AFC adalah kemuncak bagi edisi terbaik Asia manakala edisi di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 2019 telah meletakkan asas bagi bola sepak Asia untuk kami mengukuhkan legasi ini dan kami tidak meragui bahawa China bukan hanya sesuai, malah akan memenuhi semua harapan kami pada 2023,” katanya di laman sesawang AFC www.the-afc.com.

 

🇮🇳 🇮🇷 🇶🇦 🇸🇦 🇺🇿 express their interest in hosting the #AsianCup2027!

Posted by AFC Asian Cup on Tuesday, June 30, 2020


Daripada lima negara itu, hanya dua yang pernah bertindak dua kali sebagai tuan rumah kejohanan tersebut sejak ia dianjurkan pada 1956. 

Juara bertahan Qatar menganjurkan kejohanan itu pada 1988 dan 2011 manakala Iran adalah satu-satunya negara dalam sejarah bola sepak Asia yang memenangi piala itu dua kali di tanah air sendiri, iaitu pada 1968 dan 1976.

Piala Asia 2023 akan diadakan di 10 bandar di China, kali kedua negara itu menganjurkan kejohanan tersebut selepas 2004.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen