Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, menggesa pemainnya menggunakan kelebihan bermain di tempat sendiri untuk mencatatkan keputusan positif dalam Kejohanan Piala Airmarine di Stadium Nasional Bukit Jalil yang bermula esok.

Bagi Cheng Hoe, aksi separuh akhir menentang negara jiran, Singapura, tentunya akan menjadi perlawanan yang menarik kerana kedua-dua negara mempunyai sejarah tersendiri sejak beberapa dekad lalu.

“Kesemua pemain nampak gembira ketika sesi latihan dan saya berharap kita akan ada perlawanan yang baik esok. Tentunya para pemain tahu kejohanan ini penting dalam memperbaiki kedudukan ranking dunia,” katanya dalam sidang media pra-kejohanan hari ini.

Cheng Hoe turut memaklumkan kesemua pemain berada dalam keadaan terbaik, termasuk pemain veteran, Nosharul Idlan Talaha, yang menyertai rakan-rakan lain dalam sesi latihan pagi ini.

Kapten skuad kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Radzak, pula mengharapkan beberapa pemain baru yang disenaraikan kali ini dapat membantu rakan sepasukan lain mencipta keputusan positif menentang Singapura.

“Kami hormat Singapura dan tahu perlawanan dua negara ini unik. Perlawanan ini penting untuk kutip mata ranking dan elak bermain pusingan kalah mati kelayakan Piala Dunia, jadi kami akan buat yang terbaik dalam perlawanan menentang Singapura,” jelas pemain Kedah itu.

Sementara itu, jurulatih sementara Singapura, Nazri Nasir, berharap beberapa pemainnya yang bermain dalam Liga Malaysia akan menggunakan kelebihan mereka membantu mengalahkan Malaysia dalam perlawanan esok.

Nazri mengambil alih skuad Singa secara sementara mengantikan ketua jurulatih, Fandi Ahmad, yang mengendalikan skuad Young Lions untuk perlawanan Kumpulan G, kelayakan bola sepak bawah 23 tahun Konfederasi Bola Sepak Asian (AFC) 2020 di Mongolia, minggu ini.

“Beberapa pemain seperti Harris (Harun), Muhammad Shakir (Hamzah) dan Safwan (Baharuddin) bermain dalam Liga Malaysia dan saya berharap mereka dapat menggunakan pengalaman mereka untuk membantu pasukan kami.

“Saya percaya mereka akan berikan yang terbaik kerana pemilihan pemain untuk kejohanan ini adalah berdasarkan kepada pengalaman, prestasi dan kecergasan mereka.

“Perlawanan menentang Malaysia tentunya menarik dengan kedua-dua negara ada pengalaman petermuan yang banyak dan saya sendiri sebagai bekas pemain berharap mereka akan bermain dengan baik walaupun kita tahu Malaysia mempunyai kelebihan kerana bermain di tempat sendiri," ujarnya.

Nazri berkata dia hanya dapat melengkapkan pasukannya untuk kejohanan ini dua hari lalu.

Sementara itu, pemain pertahanan Singapura, Muhammad Zulfahmi Mohd Arifin, mengingatkan rakan sepasukan berhati-hati dengan beberapa pemain Malaysia seperti pemain veteran, Norsharul, yang mampu memberikan ancaman kepada barisan pertahanan mereka.

Dalam satu lagi perlawanan separuh akhir, Oman akan bertemu Afghanistan dalam perlawanan jam 4.30 petang di stadium yang sama esok.

Pasukan yang tewas akan bertemu bagi menentukan kedudukan ketiga/keempat manakala pemenang akan bertemu dalam perlawanan akhir. Kedua-dua perlawanan akan berlangsung Sabtu ini.