"Berjuang sehingga titisan peluh terakhir," itu seruan kapten skuad negara, Zaquan Adha Abdul Radzak, kepada rakan-rakannya untuk misi terakhir mereka dalam kempen Piala AFF 2018 di bumi Hanoi, malam ini.

Skuad negara gagal membawa bekalan selesa ke Hanoi selepas terikat 2-2 dalam aksi final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa lalu.

Tidak berkelebihan menerusi gol tempat lawan, Malaysia selaku juara 2010 berdepan ranjau dalam pertemuan kedua di Stadium Nasional My Dinh.

Justeru, Zaquan mengingatkan semua pemain agar mengerah seluruh keringat untuk menewaskan Vietnam malam ini bagi mengulangi sejarah 2010.

"Saya memahami harapan rakyat Malaysia. Kami akan cuba yang terbaik dan usaha kami tidak akan berhenti sehingga wisel penamat perlawanan," kata Zaquan.

Penyerang berusia 31 tahun ini mengakui mereka tidak boleh mengulangi kesilapan sama ketika tumpas 0-2 di Hanoi dalam aksi peringkat kumpulan, 16 November lalu.

Dalam perlawanan itu, Zaquan yang tidak diturunkan menyaksikan skuad negara berjaya menguasai bola tetapi buntu menghasilkan jaringan.

"Segala kelemahan dalam dua perlawanan sebelum ini berdepan Vietnam, kami telah cuba memperbaikinya."