Tuah Stadium Nasional, Bukit Jalil, kelihatan memihak kapten Harimau Malaya, Zaquan Adha Abdul Radzak, apabila penyerang itu sekali lagi meraih jaringan ketika membantu pasukan menewaskan Laos 3-1, malam tadi.

Zaquan muncul pencetus kepada kebangkitan skuad negara menerusi jaringan penyamaan pada minit ke-15 dan dia jelas berterima kasih kepada rakan sepasukannya yang tidak mudah mengaku kalah walaupun dibolosi seawal minit ketujuh.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana kami berjaya meraih tiga mata berharga.

"Ia bukan kemenangan yang mudah. Kami berusaha keras untuk memperoleh keputusan ini.

"Saya percaya kepada kemampuan rakan-rakan sepasukan.

"Kami akan teruskan aksi terbaik dalam perlawanan-perlawanan yang akan datang," katanya.

Bercakap mengenai keistimewaan beraksi di Stadium Nasional yang sentiasa memberi tuah buatnya menjaringkan gol, ini reaksi Zaquan: "Nama selaku penjaring tidak penting kerana yang lebih utama adalah kemenangan sepasukan.

"Adalah mustahil untuk saya menjaringkan gol tanpa bantuan daripada rakan sepasukan.

"Perkara itu lebih penting daripada mencatat nama selaku penjaring."