Ketua pasukan kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Radzak, turut senada dengan pengendali, Tan Cheng Hoe, yang mengakui barisan negara beraksi hambar menentang Kemboja dalam aksi sulung Kumpulan A, Piala AFF di Stadium Olimpik Phnom Penh, malam tadi.

Perlawanan itu turut menyaksikan Zaquan gagal menyudahkan peluang gol terhidang pada minit ke-15.

Namun, penggempur Kuala Lumpur berkenaan terbabit dengan gerakan untuk gol tunggal perlawanan jaringan Norshahrul Idlan Talaha.

"Kami akui lambat menyesuaikan diri dengan suasana di Kemboja dan di atas padang sintetik mereka.

"Apapun, kami dapat menjaringkan gol dalam tekanan tinggi daripada Kemboja.

"Kami akan cuba menampilkan aksi sebenar," ujarnya.

Zaquan turut mengakui setiap pemain perlu menggandakan usaha untuk aksi kedua berdepan Laos, Isnin ini.

Zaquan percaya setiap pemain menyedari kesilapan mereka dalam aksi berdepan Kemboja dan mampu meningkatkan permainan mereka ke tahap lebih tinggi.

"Alhamdulillah, sekurang-kurangnya kami dapat tiga mata bagi melonjak keyakinan kami berdepan aksi seterusnya.

"Kemenangan ini penting. Walaupun gagal mempamerkan kemampuan sebenar, kami perlu cuba memperbaiki (kepincangan) menjelang aksi kedua nanti," katanya lagi.