Kapten skuad Harimau Malaya, Zaquan Adha Abdul Radzak, mahu mengekalkan naluri pemusnah miliknya tatkala abangnya, Aidil Zafuan, bertekad merantai pergerakan jentera serangan Thailand dalam aksi separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF 2018 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.

Zaquan mencetus sensasi apabila muncul wira skuad negara dalam pertemuan menentang Myanmar, Sabtu lalu.

Dengan menyumbat dua gol, penyerang berusia 31 tahun itu membantu pasukan negara menewaskan lawan 3-0 untuk ke peringkat separuh akhir.

Kejayaan peribadi itu melonjakkan keyakinan dan semangat Zaquan untuk memastikan skuad negara berupaya meraih bekalan selesa ke atas Thailand.

"Saya cuba untuk memberikan aksi terbaik dalam setiap perlawanan.

"Selagi saya mampu, saya akan mengerah segala kemampuan demi kejayaan skuad negara," katanya.

Tatkala Zaquan menggalas tugas penting di jentera serangan, kembarnya, Aidil, memikul tanggungjawab berat di benteng terakhir skuad kebangsaan.

Ia susulan barisan serangan skuad negara Gajah Putih itu cukup digeruni menerusi kelibat penggempur utama seperti Adisak Kraisorn dan Supachai Jaided.

"Saya mahu menumpukan kepada kesemua pemain Thailand kerana mereka mampu menjana serangan dari bawah dan disudahkan menerusi penyerang berwibawa seperti Adisak," katanya.