"Bukan satu tetapi empat pemain Myanmar perlu diawasi."

Demikian tegas pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, hasil daripada risikan terhadap kekuatan Myanmar yang akan menjadi ujian getir pasukannya dalam perlawanan terakhir Kumpulan A, Piala AFF di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.


Cheng Hoe menghantar pembantunya, S. Balachandran, ke Yangon bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai lawan itu, semalam.

Pasukan itu berjaya mengikat Vietnam seri tanpa jaringan.

Vietnam sebelum ini mengalahkan skuad negara 2-0 dalam perlawanan terdahulu.

Tatkala keputusan itu sudah cukup untuk menggambarkan kekuatan mereka, risikan juga mendapati beberapa pemain The White Angels itu turut berada dalam kelas tersendiri.

"Mereka mempunyai pertahanan berpengalaman dan penyerang berkualiti yang bermain dalam Liga Thailand," katanya.

Pemain yang dimaksudkan Cheng Hoe adalah tiga individu yang berpangkalan dalam Liga Satu Thailand, Zaw Min Tun (pertahanan), Sithu Aung (pemain tengah) dan Aung Thu (penyerang) di samping pemain tengah Yangon United, Maung Maung Lwin.

Apapun, keputusan seri Myanmar dengan Vietnam tampak meredakan sedikit tekanan kem skuad kebangsaan yang terus gigih menjalani latihan menjelang pertemuan Sabtu ini.

"Semua pemain di setiap posisi perlu fokus dalam setiap minit permainan.

"Kami tidak boleh lalai sepanjang beraksi jika mahu memperoleh keputusan yang diinginkan," tambahnya.