Piala AFF tunda, Cheng Hoe sedia hadapi jadual padat

Oleh Ammar Hakim 31 Julai 2020 248
Piala AFF tunda, Cheng Hoe sedia hadapi jadual padat
Tiada pilihan lain buat Tan Cheng Hoe, selain perlu bersiap-siaga menjelang tahun depan dengan kepadatan jadual yang bakal dihadapi.

Ia susulan tarikh penundaan Piala AFF 2020 masih belum ditetapkan dan Cheng Hoe tidak mahu menganggap kepadatan jadual menjadi alasan dia gagal mempersiapkan pasukannya, 

Cheng Hoe mengakui dia lega dengan perkabaran penundaan Piala AFF yang dijadualkan bermula 23 November hingga 31 Disember ini telah rasmi ditunda ke tahun 2021.

Ia memberi kelebihan buatnya untuk memberi fokus kepada saingan kelayakan Piala Dunia 2022-Piala Asia 2023 yang akan berlangsung Oktober dan November ini.

Bagaimanapun, skuad Harimau Malaya masih tidak dapat mengelak daripada situasi jadual yang padat pada tahun depan.

"Ini kerana kami mengetahui sekiranya bermula awal tahun depan, terdapat pasukan yang berada dalam proses dalam latihan pra-musim, kalau pertengahan tahun mungkin akan menjejaskan jadual FIFA manakala akhir tahun mungkin ada Sukan SEA.

"Memang sukar tetapi barisan jurulatih sentiasa bersedia dan akan menyediakan pasukan untuk Piala AFF," kata Cheng Hoe.

Sementara itu, pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh, berpandangan penundaan Piala AFF sebagai berita baik buat skuad negara.

Ia sekurang-kurang nya skuad negara mampu lebih bersedia pada tahun hadapan dengan prestasi dan kecergasan di tahap yang lebih baik selepas dunia bolasepak terpaksa berehat ekoran penularan wabak Covid-19 sebelum ini.

"Bagi saya, itu adalah masa yang terbaik kerana terdapat dua kejohanan yang berlangsung dalam tempoh yang singkat. 

"Para pemain akan berasa keletihan dan berkemungkinan boleh mendapat kecederaan dan kami perlu memberi fokus terhadap banyak kejohanan.

"Dengan penundaan ini (Piala AFF), para pemain dapat memberi sepenuh fokus kepada kelayakan Piala Dunia pada tahun ini dan tahun hadapan kami akan fokus kepada Piala AFF.

"Jadi, ia sangat sempurna dan saya sangat gembira dengan penundaan kejohanan ini ke tahun depan", kata Sumareh.

Bagi pemain tengah negara, Danial Amier Norhisham,  yang mahu mengambil peluang penundaan saingan tersebut untuk kembali memikat hati Tan Cheng Hoe.

Danial baru sahaja pulih sepenuhnya daripada kecederaan serius, dan kali terakhir beraksi bersama skuad Cheng Hoe, dalam saingan kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia menentang Thailand, November tahun lalu.

"Secara positifnya, saya baru pulih sepenuhnya daripada kecederaan, tahun ini pun saya tidak ada sebarang kejohanan kopetitive walaupun sebelum PKP.

"Saya dapat bersedia memulakan liga pasukan (Felda United) dan juga AFF Suzuki tahun depan.

"Sekarang saya berada dalam keadaan yang terbaik dengan saya telah memulakan latihan dan membuat persediaan awal. Dari segi fizikal dan mental, saya sudah bersedia", kata Danial ketika dihubungi wartawan Nadi Arena, Syakirah Zulkilfy.
 

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen