"Tidak bolos beri petanda positif kepada Harimau Malaya.”

Itu keyakinan yang disuarakan pengendali skuad negara, Tan Cheng Hoe, menjelang aksi separuh akhir kedua menentang Thailand di Stadium Rajamangala, Bangkok, Rabu ini, susulan kejayaan mengikat lawan tanpa jaringan di Bukit Jalil dalam separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF 2018, semalam.

Hasrat skuad negara untuk meraih bekalan selesa menentang Thailand tidak kesampaian selepas terikat tanpa jaringan dalam aksi separuh akhir pertama di laman sendiri.

Ia menyaksikan jentera serangan skuad negara garang dalam mencipta peluang jaringan tetapi dinafikan ketumpulan sentuhan terakhir di depan gol.

Bagaimanapun, Cheng Hoe masih mampu menguntum senyuman kerana gawangnya tidak dibolosi sehingga membuatkannya menganggap situasi itu sebagai satu suntikan moral untuk cabaran getir di Bangkok nanti.

Bagaimanapun, kem skuad kebangsaan ketika ini tampak gusar susulan dua pemain tonggak, iaitu Mohamadou Sumareh dan Syazwan Andik, dilanda kecederaan paha.

"Secara keseluruhan, Malaysia bermain dengan begitu baik. Ketenangan yang terbaik di setiap masa walaupun Thailand lebih berkualiti berbanding kami. Ia petanda positif untuk masa akan datang," kata Cheng Hoe.

Sementara itu, pengendali Thailand, Milovan Rajevac, mengakui anak buahnya tidak beraksi di tahap prestasi sebenar, sebaliknya tuan rumah yang lebih bermotivasi tinggi untuk memburu jaringan.

Dalam aksi semalam, Thailand lebih banyak bertahan, sekali gus gagal membawa sebarang bekalan gol dari tempat lawan.

"Ini perlawanan yang sukar. Kami mahu menjaringkan gol dan memiliki beberapa peluang tetapi pemain tidak beraksi di prestasi sebenar, selain lawan beraksi lebih baik. Bagaimanapun, yang penting kami tidak tewas dan perlawanan kedua nanti akan menjadi penentuan," ujar Rajevac.