Piala AFF: Thailand miliki kekuatan holistik -- Richard

Oleh Penulis Jemputan 29 November 2018 1107
Piala AFF: Thailand miliki kekuatan holistik -- Richard
"Skuad Thailand mempunyai kekuatan berpasukan holistik." Itu pandangan penganalisis bola sepak negara, Datuk Richard Scully, dengan melabel Adisak Kraisorn, Supachai Jaided dan Tanaboon Kesarat, sebagai nadi utama kekuatan skuad negara Gajah Putih itu.

Malaysia akan bertemu Thailand dalam aksi separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.

Thailand tetap digeruni walaupun tanpa kehadiran empat bintang utama, Chanatip Songkrasin, Teerathon Bunmathan, Teerasil Dangda dan penjaga gol, Kawin Thamsatchanan, yang terikat dengan komitmen bersama kelab masing-masing.

Ini berdasarkan aksi memukau juara lima kali itu dalam saingan peringkat kumpulan dengan menghasilkan 15 gol dan sekadar dibolosi tiga gol daripada empat perlawanan.

Statistik itu jelas menunjukkan skuad bimbingan Milovan Rajevac itu mempunyai kekuatan seimbang dalam menyerang dan bertahan.

"Berdasarkan nisbah, tiga gol terhasil dalam setiap tujuh percubaan mereka.

"Itu menunjukkan mereka mempunyai kekuatan holistik di setiap posisi," katanya.

Tatkala tumpuan terarah kepada ketajaman penyudah Adisak yang meledak lapan gol, Richard yang bertugas sebagai pengumpul data dan statistik kejohanan, berpandangan Supachai dan Tanaboon juga mampu memberi impak besar kepada persembahan pasukan itu. 

"Ketiga-tiga pemain itu merupakan pencetus kepada pergerakan-pergerakan berbisa Thailand.

"Skuad negara perlu memastikan mereka tidak dapat merencanakan pergerakan yang dinamik buat Thailand, Sabtu ini," tambahnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen