Penyerang negara, Zaquan Adha Abdul Radzak, menegaskan dia menyedari tanggungjawab berat memakai lilitan kapten pasukan negara dalam saingan Piala AFF 2018 yang akan bermula esok.

Bagaimanapun, Zaquan memberi jaminan sedia mengerah segala kudrat bersama rakan sepasukan lain demi lencana di dada.

"Kami bermain demi Malaysia dan saya bertanggungjawab untuk memastikan setiap pemain dapat menampilkan persembahan terbaik dalam perlawanan ini," kata Zaquan.

Bagi pertahanan senior Kemboja, Soeuy Visal, dia dan rakan sepasukan menyedari ia bukan tugas mudah menangani Malaysia.

Tetapi mereka sudah menjalani persiapan lebih baik kali ini dan sambutan Hari Kebangsaan Kemboja, Jumaat ini, akan turut menyemarakkan semangat pemain.

"Ketika aksi persahabatan dengan Malaysia sebelum ini, kami hanya berlatih seminggu tetapi kini kami sudah berlatih sebulan. Saya yakin kami lebih bersedia kali ini dan sudah pasti sambutan Hari Kebangsaan turut menyemarakkan semangat kami," katanya.