Piala AFF 2020 sah ditunda tahun depan, sekali gus skuad Harimau Malaya tidak perlu dipecahkan kepada dua pasukan bagi mengharungi perlawanan tahun ini.

Nadi Arena sebelum ini melaporkan bahawa saingan kejohanan rantau ini itu bakal ditunda tahun depan akibat penularan wabak COVID-19 selain jadual padat yang bakal dihadapi skuad kebangsaan.

Tonggak pertahanan Malaysia, Shahrul Saad, menyarankan ia bukan pilihan yang terbaik jika memecahkan skuad negara kepada dua pasukan, malah mampu merencatkan kemampuan skuad Malaysia.

"Bagus juga kalau salah satu pertandingan itu ditunda tahun depan jadi pasukan tidak berdepan masalah.

"Kalau dua pasukan perlu dibentuk, ia bukan satu perkara yang baik, biarlah satu pasukan sahaja yang beraksi," katanya kepada wakil Nadi Arena, Muiz Aziz.

AFF Suzuki Cup 2020 to be postponed until 2021 https://www.aseanfootball.org/v3/aff-suzuki-cup-2020-to-be-postponed-until-2021/

Posted by Asean Football Federation on Thursday, July 30, 2020


Tambah pemain tengah, Muhammad Syahmi Safari, peluang Harimau Malaya dalam saingan Piala AFF lebih cerah jika ditunda ke tahun depan akibat masih tidak cukup persiapan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membenarkan sesi latihan diadakan.

"Piala AFF patut ditunda disebabkan peningkatan kes COVID-19.

"Lagipun sebaik habis Liga Malaysia (Liga-M), pemain negara akan mengharungi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

"Penundaan Piala AFF boleh menawarkan masa buat pasukan kebangsaan membuat persiapan," katanya.