Pertahanan negara, Syazwan Andik Mohd Ishak, tidak rela diketepikan dalam aksi separuh akhir kedua Piala Suzuki AFF berdepan Thailand di Bangkok, Rabu ini.

Syazwan dihimpit kecederaan pangkal paha dalam separuh akhir pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil, kelmarin.

Setakat ini, dia tidak pernah terlepas sebarang aksi dengan sentiasa berada dalam kesebelasan utama sejak aksi pertama peringkat kumpulan berdepan Kemboja.

Perlawanan di Bukit Jalil kelmarin menyaksikan dia terpaksa dikeluarkan pada minit ke-72.

Namun, Syazwan menganggap kecederaan yang dialaminya itu tidak terlalu serius dan percaya akan terus diberikan tanggungjawab untuk berada dalam skuad utama Harimau Malaya di Bangkok.

"Saya sudah menempuhi perjalanan sejauh ini dan saya tidak rela untuk diketepikan dalam aksi di Bangkok nanti.

"Saya sedang menjalani pemulihan dan segalanya nampak baik untuk saya diturunkan dalam perlawanan itu.

"Saya mengharapkan doa daripada penyokong Malaysia dan berjanji akan turun dengan prestasi terbaik," katanya.