Pemain pertahanan negara, Syahmi Safari, menyifatkan keyakinan yang ada dalam semua pemain sebagai faktor utama kemampuan mereka untuk menenggelamkan kehebatan Thailand dalam pertemuan kedua-dua pasukan semalam.

Skuad Gajah Perang itu dicanang sebagai pasukan paling kuat dalam kejohanan kali ini berdasarkan kehebatan mereka ketika peringkat kumpulan.

Juara bertahan itu merekodkan 15 gol dan sekadar dibolosi tiga jaringan, sekali gus menghadirkan rasa gerun sebelum pertemuan itu.

Namun, situasi sebaliknya berlaku apabila barisan pemain negara lebih menyerlah dalam aksi sepenuh masa tetapi gagal untuk meraih jaringan.

"Semua orang cakap Thailand pasukan lebih baik, jadi itu tidak dapat dinafikan. Namun, semua pemain dan jurulatih memberi semangat. Kami perlu mengubah situasi itu.

"Kami tidak boleh terlalu menghormati mereka di atas padang," kata Syahmi.

Bagaimanapun, skuad bimbingan Tan Cheng Hoe itu tetap menggalas tugas sukar apabila bertandang ke tempat lawan Rabu ini tanpa sebarang bekalan gol.

Mereka memerlukan sekurang-kurangnya keputusan seri 1-1 untuk melangkah ke final bagi mengulangi pencapaian empat tahun lalu.

"Memang tugas yang sukar buat kami di Bangkok nanti tetapi kami tetap akan fikirkan selepas ini. Aksi semalam, kami sudah pamerkan yang terbaik," kata pertahanan Malaysia, Aidil Zafuan Abdul Radzak.

"Kami harus meneruskan apa yang dilakukan dan terus percaya. Walaupun kami akan beraksi di tempat lawan, rentak permainan perlu dikekalkan," tambah pemain tengah kebangsaan, Syamer Kutty Abba.