"Di mana-mana saja posisi yang akan diletakkan, saya akan memberikan aksi terbaik," itu janji penyerang negara, Syafiq Ahmad, yang hanya mahu memastikan pasukannya mengakhiri perlawanan sebagai pemenang dalam aksi final kedua menentang Vietnam di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi malam ini untuk merangkul gelaran Piala AFF buat kali kedua.

Skuad negara gagal membawa bekalan selesa ke Hanoi selepas terikat 2-2 dalam aksi final pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa lalu.

Tidak berkelebihan menerusi gol tempat lawan, Malaysia selaku juara 2010 berdepan ranjau dalam pertemuan kedua di Stadium Nasional My Dinh.

Turun selaku pemain bek kanan ketika berdepan Vietnam di Bukit Jalil, Syafiq sedia menampilkan persembahan yang berkualiti malam ini.

"Segalanya terpulang kepada jurulatih. Saya akan lakukan yang terbaik jika berada dalam kesebelasan utama," kata Syafiq.

"Secara fizikal dan mental, skuad Malaysia bersedia menghadapi perlawanan ini. Menyedari Vietnam kebal di Stadium My Dinh, misi kami tetap sama, iaitu memastikan kemenangan buat skuad negara."