Pemain sayap negara, Mohamadou Sumareh, menganggap nasib tidak menyebelahinya untuk meledak jaringan ketika menentang Thailand dalam separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.

Ia susulan kebimbangan mengenai tahap kecergasannya yang turut mengalami kecederaan paha.

Sumareh adalah antara pemain negara yang mencipta banyak peluang jaringan selain Safawi Rasid.

Peluang keemasan pemain kelahiran Gambia itu hadir pada minit ke-26, namun dia gagal menemui penyudah sempurna.

Kebuntuannya untuk meraih bekalan gol berterusan sehingga dia dikeluarkan ekoran kecederaan pada minit ke-64.

"Agak malang untuk kami meraih keputusan seri memandangkan kami memperoleh banyak peluang jaringan.

"Saya sepatutnya menjaringkan gol, namun nasib tidak menyebelahi saya.

"Bagaimanapun, ia masih belum berakhir.

"Kami perlu beraksi lebih baik dan saya amat berbangga dengan rakan sepasukan yang lain.

"Sekiranya kami mampu mengekalkan prestasi seperti itu, saya yakin untuk mencapai kemenangan di Bangkok," katanya.

Dalam perlawanan itu, Sumareh yang juga pemain naturalisasi pertama negara, digantikan dengan Ahmad Hazwan Bakri.

Tonggak Pahang itu berharap untuk pulih sebelum aksi timbal balik di Bangkok, Rabu ini, dalam misi membawa Harimau Malaya ke final.

"Saya cuba untuk terus beraksi, namun ia semakin sukar.

"Tidak banyak yang mampu saya lakukan ketika dalam kesakitan, jadi saya perlu keluar untuk membenarkan pemain lain masuk," tambahnya.