Penyerang negara, Shahrel Fikri Md Fauzi, bersedia mengulangi aksi cemerlang ketika menewaskan Kemboja 3-1 dalam perlawanan persahabatan, September lalu, apabila skuad negara akan sekali lagi berdepan lawan sama dalam aksi sulung peringkat kumpulan Piala AFF, esok.

Kemenangan pertama dalam kempen kali ini penting buat Shahrel dan dia sudah ada perancangan bagi menghadapi perlawanan wajib menang itu.

"Semua pemain berlatih bersungguh-sungguh dan kami sememangnya akan turun memburu kemenangan.

"Kami pernah menewaskan mereka sebelum ini dan perlu berwaspada andai mahu mengulangi kejayaan itu nanti," katanya.

Shahrel lega dengan kemasukan Mohamadou Sumareh dan Safawi Rasid yang kembali menyertai kem kebangsaan dengan menganggap mereka mampu memberikan ketajaman dalam jentera serangan pasukan.

"Kami mempunyai rangkaian penyerang yang baik dalam pasukan.

"Kemasukan mereka sudah pasti menyukarkan misi saya memburu kesebelasan utama.

"Ia persaingan sihat dan saya bersedia untuk memberikan aksi terbaik andai diturunkan nanti," tambahnya.