Piala AFF: Shahrel sedia dedah kelemahan Thailand

Oleh Penulis Jemputan 27 November 2018 1171
Piala AFF: Shahrel sedia dedah kelemahan Thailand
Penyerang Harimau Malaya, Shahrel Fikri Md Fauzi, berkongsi maklumat dengan jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, mengenai kekuatan pemain skuad Gajah Putih selepas beraksi empat bulan dalam Liga Thailand bersama Nakhon Ratchasima.

Shahrel mengakui sebahagian besar pemain Thailand bukan nama asing buat dirinya kerana sudah mengenali satu sama lain sepanjang di sana.

Ketua pasukan Thailand, Chalermphong Kerdkaew, merupakan antara individu paling rapat dengannya kerana beraksi bersama di Nakhon.

Justeru, dia akan cuba membantu Cheng Hoe menerusi maklumat berguna, terutama pemain-pemain utama yang bakal menjadi tunjang kekuatan Thailand.

"Memang benar ketua pasukan Thailand adalah kapten kelab saya. Bagi saya, dia memang pemain terbaik dan sedikit-sebanyak saya tahu kelemahannya.

"Umur dia dalam lingkungan atas 30 tahun dan kepantasan menjadi kekurangannya walaupun dia bijak membaca permainan," katanya.

Shahrel juga menambah tahap permainan Thailand sememangnya antara yang terbaik dan itu merupakan gambaran kualiti bola sepak dalam Liga Thailand.

Dia juga menasihatkan rakan sepasukan agar bekerja lebih keras bagi menyekat kreativiti dan corak permainan lawan.

"Permainan Thailand lebih pantas dan agresif, itu pendapat saya. Memang sukar melihat kekurangan mereka.

"Saya harap pemain Malaysia dapat memberikan kerjasama dalam perlawanan nanti."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen