Piala AFF: Safawi berkobar-kobar tamatkan kemarau jaringan

Oleh Staff Writer 3 Disember 2018 1264
Piala AFF: Safawi berkobar-kobar tamatkan kemarau jaringan
Tiada istilah menyerah kalah dalam misi memburu gol peribadi sulung buat penyerang negara, Safawi Rasid, dalam Piala Suzuki AFF 2018 sungguhpun menjadi antara pemain yang paling banyak melakukan percubaan agresif di hadapan gawang.

Aksi Safawi jarang yang  mengecewakan dalam mencipta peluang di hadapan gawang gol tetapi sering kali percubaannya tidak membuahkan hasil.

Bahkan, peluang terbuka yang hadir seawal minit kelima ketika aksi separuh akhir pertama menentang Thailand, Sabtu lalu, sepatutnya berhasil sebelum percubaannya melambung tinggi.

Secara tidak langsung, penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) itu bertekad melepaskan geram dalam separuh akhir kedua, Rabu ini, dalam memastikan peluang terhidang mampu berakhir dengan jaringan.

"Mungkin rezeki saya belum kesampaian untuk menjaringkan gol tetapi dalam masa sama saya berusaha. 

"Bagi saya, ia bukan menjadi masalah dan saya tidak berasa kecewa. 

"Ia menjadi motivasi dan saya berazam untuk meningkatkan prestasi penyudah," katanya. 

Skuad negara yang berlepas ke Bangkok hari ini sedar tugas paling getir kian hampir dalam menentukan pasukan terbaik ke final.

Safawi menganggap penguasaan Harimau Malaya sepenuhnya dalam aksi kelmarin tidak memberi jaminan skrip serupa akan berulang.

"Ia perlawanan terakhir kami dalam kempen ini, kami akan bermain secara bermati-matian. 

"Mana-mana pasukan yang kalah, akan tersingkir. 

"Pemain-pemain perlu beri fokus dalam aksi Rabu ini sambil mengikut perancangan yang diterapkan jurulatih," katanya lagi. 
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen