Misi mengekalkan rekod 47 tahun tampak menjadi tumpuan skuad Harimau Malaya menjelang pertemuan menentang Thailand dalam separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF apabila pengendali, Tan Cheng Hoe, menuntut anak buahnya melunaskan misi meraih keputusan positif di Bukit Jalil, malam esok.

Malaysia memiliki rekod mengagumkan berdepan Thailand di bumi sendiri.

Dalam tempoh 59 tahun perseteruan kedua-dua negara, Malaysia hanya tewas sekali, iaitu dalam Pesta Bola Merdeka pada 1971 dengan kekalahan 0-2.

Ini merupakan pertemuan pertama kedua-dua pasukan sejak final Piala AFF 2014 yang menyaksikan Malaysia menang 3-2 di Stadium Nasional.

Walaupun terdapat jurang perbezaan dalam ranking dunia, rekod itu seharusnya menjadi ancaman besar kepada skuad Gajah Perang.

"Rekod adalah rekod tetapi perlawanan esok agak berbeza kerana penyokong Malaysia sudah pasti mengharapkan bekalan selesa.

"Tetapi kami sedar pasukan Thailand mempunyai kekuatan.

"Yang penting, kami mahu mendapatkan keputusan yang positif," ujar Cheng Hoe dalam sidang media pra perlawanan di venue pertemuan, hari ini.

Skuad negara tampak melancarkan perang psikologi apabila menampilkan pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh, dalam sidang media itu.

Sumareh yang kembali menemui sentuhannya ketika aksi menentang Myanmar, 24 November lalu, kini berpeluang untuk mengakhiri kemarau jaringannya dalam aksi menentang Thailand.

"Perkara utama esok adalah kemenangan dan sekiranya dapat meledak gol, ia bonus buat saya.

"Ini sukan sepasukan. Sekiranya saya tidak menyumbat gol tetapi dapat menghasilkan bantuan jaringan, itu lebih menggembirakan saya.

"Saya berasa yakin dan teruja kerana seluruh penyokong berada di belakang kami.

"Ia satu motivasi buat kami," katanya.

Daripada tiga pertemuan dalam separuh akhir menentang Thailand di pentas ini, Malaysia tewas kesemuanya dengan hanya menjaringkan satu gol, iaitu pada 2012.

Malaysia menang dalam final kedua 3-2, namun tewas aggregat 4-3 untuk muncul naib juara pada 2014.