Pengendali Thailand, Milovan Rajevac, tidak bimbang dengan pemain ke-12 Malaysia, iaitu barisan penyokong negara di Stadium Nasional, Bukit Jalil, menjelang separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF, Sabtu ini.

Kebanyakan media Thailand tidak banyak memberikan fokus kepada aksi separuh akhir ketika ini, namun tidak bagi pengendali kelahiran Croatia itu.

Ia mungkin perang psikologi awal daripada kem Thailand sebelum ke Bukit Jalil.

Rajevac seolah-olah langsung tidak mahu memikirkan soal penonton, sebaliknya mahu lebih menumpukan kepada aksi di padang.

"Kami tahu apa akan berlaku tetapi seboleh-bolehnya tidak mahu memikirkan tentang penonton di Bukit Jalil.

"Ini kerana sebagai pemain profesional, mereka perlu bersedia beraksi di depan puluhan ribu penonton.

"Kami bersedia untuk beraksi dalam kedua-dua perlawanan.

"Jika perancangan berada dalam kedudukan yang baik, kami akan ke final," katanya.

Dalam pada itu, penyerang muda meningkat naik Buriram United, Supachai Jaided, optimis pasukannya mampu mempamerkan aksi terbaik untuk menundukkan Malaysia dalam misi ke final.

"Saya percaya kepada sumbangan rakan sepasukan dan kami saling mempunyai elemen itu.

"Jika kami kekal dengan semangat tersebut, kami akan mengalahkan mereka dan layak ke final," katanya.