Jurulatih skuad negara, Tan Cheng Hoe, tidak mahu mendengar alasan kesukaran beraksi di padang tiruan sebagai halangan anak buahnya beraksi cemerlang di Stadium Olimpik Phnom Penh.

Kemenangan adalah keutamaan Harimau Malaya ketika bertemu Kemboja dalam aksi pembukaan Piala AFF, Khamis ini.

Selain halangan pasukan tuan rumah yang turut memiliki impian melakar kemenangan dalam aksi pembukaan, beraksi di padang tiruan juga antara kesukaran yang perlu diatasi barisan negara.

Namun, Cheng Hoe memberi amaran awal agar hal itu jangan dijadikan alasan.

"Bukan mudah untuk beraksi di atas padang tiruan biarpun kami menjalani beberapa sesi untuk menyesuaikan diri.

"Bagaimanapun, itu tidak boleh dijadikan alasan kerana Kemboja juga berlatih di atas padang yang serupa.

"Saya harap jika pemain fokus kepada perlawanan dan yakin dengan kemampuan sendiri, saya mengharapkan keputusan baik dapat dicapai," kata Cheng Hoe.

Skuad kebangsaan sebelum ini pernah berhadapan masalah kesukaran beraksi di atas padang tiruan, terutama ketika bertemu Singapura di Stadium Jalan Besar.

"Bola akan bergerak lebih pantas dan lantunan bola agak berbeza, jadi saya harap pemain dapat menyesuaikan diri dengan situasi itu," tambahnya.

Skuad negara menjalani sesi latihan akhir di Institut Semarak Felda yang menggunakan padang tiruan sebagai persediaan bertemu Kemboja.

Dalam perkembangan berasingan, skuad lelaki negara berpesta gol apabila membelasah Kemboja 10-0 dalam Kejohanan Futsal AFF 2018 di Indonesia hari ini.