Pengendali skuad negara, Tan Cheng Hoe, kecewa dengan keadaan padang latihan yang disediakan oleh pihak Thailand yang didakwanya boleh mendatangkan kecederaan kepada pemain menjelang aksi separuh akhir Piala Suzuki AFF 2018 di Stadium Rajamangala, Bangkok, esok.

Skuad kebangsaan menjalani latihan di Stadium Insi Chantharasathit semalam sebagai persediaan menentang Thailand tetapi kekuatan mental pemain negara tampak diuji apabila terpaksa berlatih dalam keadaan padang yang berlopak di beberapa tempat dan tiada garisan padang.

Ia mirip situasi yang dilalui Cheng Hoe ketika edisi 2012 apabila ketika itu skuad negara terpaksa menjalani latihan di padang awam yang disifatkan sebagai 'sawah padi'.

"Kami tahu ini bukan latihan rasmi tetapi hanya satu sesi latihan ringan. Kami berharap setiap kali beraksi di tempat lawan, kami disediakan padang latihan yang elok kerana tidak mahu pemain menerima kecederaan.

"Apa yang penting, saya mahu pemain menikmati suasana latihan," kata Cheng Hoe.

Sesi latihan semalam tidak disertai Syazwan Andik dan Aidil Zafuan Abdul Radzak kerana melakukan proses pemulihan kecederaan, namun Mohamadou Sumareh menunjukkan perkembangan positif daripada kecederaan paha.

"Saya harap Syazwan segera pulih. Aidil mengalami sedikit masalah di bahagian kaki tetapi pemain lain tampak cukup bertenaga," tambah Cheng Hoe.