"Saya ingin ucapkan mereka selamat malam kerana esok mimpi buruk buat anda."

Itu nada angkuh yang dilontarkan penjaga gol Thailand, Chatchai Budprom, kepada skuad Harimau Malaya apabila menegaskan pasukannya akan menampilkan aksi berbeza dalam pertemuan separuh akhir kedua Piala AFF di Stadium Rajamangala, Bangkok, esok.

"Perlawanan esok pasti sengit.

"Kami ingin mengucapkan kepada Malaysia selamat tidur nyenyak pada malam ini kerana esok adalah mimpi ngeri buat mereka," kata Chatchai lalu menepuk meja sejurus menzahirkan pandangannya dalam sidang media pra-perlawanan di Bangkok, hari ini.

Reaksi berkenaan menyerlahkan lagi ego skuad Gajah Perang itu selaku juara bertahan yang mengintai gelaran keenam kejohanan.

Thailand sememangnya memiliki reputasi besar di Stadium Rajamangala dalam kejohanan itu apabila merekodkan 14 gol dengan lapan gol daripada jumlah itu dihasilkan Adisak Kraisorn.

Namun, itu bukan bermakna mereka tidak boleh dikalahkan dan sememangnya anak buah Tan Cheng Hoe mampu untuk melakukannya, dengan syarat kali ini memanfaatkan peluang menghasilkan jaringan.

"Kami sudah bersedia untuk aksi esok.

"Semua orang tahu kami mendominasi perlawanan yang baik di Malaysia, cuma jaringannya yang buntu.

"Kami akan turun dengan positif esok sungguhpun sedar ia bukan perlawanan yang mudah.

"Kami yakin mampu mencapai keputusan yang baik," kata perancang negara, Syamer Kutty Abba.