"Mengapa perlu takut Thailand?"

Psikologi ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, tetap kental walaupun mengakui rekod pertemuan pasukan negara dengan skuad Gajah Putih itu kurang baik, terutama dalam saingan Piala Suzuki AFF.


Cheng Hoe merupakan penolong kepada ketua jurulatih, Datuk K. Rajagobal, ketika edisi 2012 apabila skuad negara tewas dalam aksi separuh akhir kepada Thailand.

Dua tahun kemudian, skuad negara sekali lagi dikecewakan Thailand dalam final.

Bagaimanapun, beliau tidak mahu memikirkan sejarah lalu sambil menyatakan Thailand boleh ditewaskan jika barisan pemain mampu mengikuti perancangan taktikal miliknya menjelang pertemuan separuh akhir pertama, Sabtu ini.

"Kedua-kedua pasukan kerap bertemu sebelum ini dan kelebihan nyata milik Thailand.

"Kami tidak boleh takut kepada mereka dan setiap pemain perlu ada keyakinan untuk meraih kemenangan.

"Jika mereka memegang kepada kepercayaan itu, kami akan dapat melalui segala rintangan dan halangan," katanya.

Mengenai kualiti lawan, Cheng Hoe melihat aspek serangan perlu diberikan perhatian, terutama melibatkan bintang utama Thailand, Adisak Kraisorn.

"Kami perlu lebih fokus dan agresif dalam menangani serangan mereka.

"Adisak sememangnya seorang penyerang yang baik, jadi barisan pertahanan kami perlu mengekalkan prestasi terbaik seperti dalam perlawanan sebelum ini," tambahnya.

Turut senada dengan Cheng Hoe adalah barisan pemain negara.

"Kami perlu berhati-hati ketika berdepan corak serangan balas pantas mereka.

"Kami perlu mengelak daripada dibolosi agar menjadi bekalan yang baik ketika pertemuan kedua di Bangkok nanti," kata pemain tengah negara, Syamer Kutty Abba.

"Thailand merupakan antara pasukan terbaik dalam saingan kali ini.

"Bagaimanapun, kami tidak akan gentar bertemu dengan mereka," kata pertahanan negara, Aidil Zafuan Abdul Radzak.