Penyerang sensasi negara, Norshahrul Idlan Talaha, bertekad mengulangi memori manis Piala AFF 2014 dengan sekali lagi menghasilkan jaringan untuk membantu Harimau Malaya melakar kejutan ke atas Vietnam di Hanoi, malam esok.

Norshahrul atau mesra disapa Mat Yo kini dalam prestasi terbaik apabila menjadi watak penting ketika membenam Laos dan Kemboja.

Selepas dua perlawanan, penggempur berpengalaman itu sudah mencetak tiga jaringan, justeru dia berharap ketajamannya di depan gawang terus menjadi aset buat negara dalam aksi ketiga Kumpulan A, Piala AFF itu nanti biarpun juara 2008 berkenaan dilabel sebagai pasukan pilihan.

"Sebelum sepak mula dalam dua perlawanan yang lepas, saya berfikir secara positif dan insya-Allah bertemu Vietnam esok, saya harap rakan-rakan boleh membantu saya menjaringkan gol," katanya.

Berbekalkan semangat Piala AFF 2014 yang menyaksikan Malaysia memadam kedudukan selesa lawan di Stadium Nasional My Dinh Hanoi, Mat Yo menganggap ia tidak mustahil untuk diulangi.

"Dalam edisi 2014, kami perlu mendapatkan dua gol (pertemuan pertama menyaksikan Vietnam menang 2-1), tetapi jurulatih pada masa itu, Dollah Salleh, membangkitkan semula semangat kami untuk mendapatkan jaringan seawal mungkin.

"Ia menyaksikan kami menang di sini (agregat 5-4) dan saya pula menyumbat satu gol.

"Saya harap dapat mengulanginya lagi, tidak kira sama ada menjaringkan gol atau membuat umpanan gol kepada rakan sepasukan tetapi apa yang penting adalah tiga mata malam esok," katanya.