Malaysia perlu mengekalkan rentak cemerlang ketika menentang Kemboja dalam aksi kedua Kumpulan A, Piala AFF Suzuki 2018 berdepan Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe berkata untuk meraih tiga mata penuh, barisan pemainnya perlu mengekalkan keyakinan dan konsistensi selain bermain dengan tempo yang sama ketika menewaskan Kemboja 1-0 dalam aksi pembukaan, Khamis lalu.

Bagaimanapun, Cheng Hoe mengharapkan satu corak permainan lebih menarik ditonjolkan jentera serangannya dalam mencipta peluang.

"Pemain yang diturunkan semasa lawan Kemboja memberi satu prestasi terbaik walaupun kita tahu di bahagian serangan, kita banyak sia-siakan peluang. Kita perlu lebih tajam dan sempurnakan peluang yang terhidang dalam perlawanan esok.

“Laos dari segi taktikal bertahan sangat baik dan berdisiplin tinggi, jadi saya harap pemain tidak terlalu kelam-kabut nak buat serangan kerana serangan balas mereka (Laos) boleh menghukum kita,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Sementara itu, penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat, mengingatkan rakan sepasukannya supaya tidak memandang rendah kemampuan Laos yang tewas 0-3 kepada Vietnam dalam aksi sulung.

“Kita turun ke Stadium Nasional esok untuk tiga mata penuh. Kita tidak boleh terlampau yakin kerana mereka (Laos) mungkin boleh buat sesuatu untuk kecewakan kita. Jadi, kita kena betul-betul fokus dan jangan memandang rendah mereka,” katanya.

Tiga mata ke atas Laos esok akan memastikan skuad negara membawa bekalan selesa enam mata ke Hanoi untuk aksi ketiga berdepan Vietnam, Jumaat ini, sebelum menutup saingan kumpulan dengan melayani kunjungan Myanmar pada 24 November.

-- BERNAMA