Kejayaan Malaysia ke final Piala Suzuki AFF dengan menyingkirkan Thailand di Stadium Rajamangala, Bangkok semalam, mampu membuatkan pemain negara tidur lena.

Sebaliknya, mimpi ngeri menimpa skuad Gajah Perang itu, terutama melibatkan penyerang utama mereka, Adisak Kraisorn.

Di sebalik kemaraan itu, pengendali negara, Tan Cheng Hoe, percaya faktor lencana di dada memacu kejayaan untuk menyingkir juara bertahan tersebut.

Dua kali bangkit daripada ketinggalan, layangan kad merah di lewat permainan dan sepakan penalti lawan yang tidak masuk -- itu antara insiden mendebarkan yang dilalui barisan pemain negara dalam pertemuan di Bangkok tersebut.

Ternyata faktor tuah juga membantu kemaraan skuad negara ke final menerusi gol tempat lawan hasil keputusan 2-2.

Namun, Cheng Hoe menegaskan faktor utama kejayaan mereka adalah hasil daripada kerja keras pemain yang bermain mengikut taktikal.

"Pemain memberikan aksi terbaik ketika kami mengejar kedudukan.

"Mereka bermain dengan disiplin taktikal yang tinggi.

"Ia merupakan keputusan yang menakjubkan buat kami," katanya.

Cheng Hoe, bagaimanapun, enggan dibuai mimpi dengan kejayaan itu dan mahu barisan pemainnya kekal fokus dalam memburu kejuaraan.

Layak ke pentas akhir buat kali keempat, Malaysia kini berada di landasan terbaik memburu gelaran pertama sejak edisi 2010.

"Saya ingin berterima kasih kepada bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang memberikan kepercayaan kepada saya untuk membimbing pasukan ini.

"Saya juga perlu memberikan penghargaan tertinggi buat barisan pemain yang berusaha keras untuk mendapatkan kemenangan ini," tambahnya.

Penjaga gol Thailand, Chatchai Budprom, terdahulu membangkitkan kemarahan penyokong Malaysia apabila memperlekehkan kemampuan skuad Harimau Malaya dalam sidang media sebelum perlawanan.

Ia menerusi kenyataannya yang mahu menjadikan pertemuan di Stadium Rajamangala sebagai mimpi ngeri buat pemain-pemain negara.

Namun, dia terpaksa menelan kembali kata-katanya itu apabila Thailand yang sebaliknya gagal ke perlawanan akhir.

Mungkin ia menjadi mimpi paling ngeri buat rakan sepasukannya, Adisak, susulan kegagalan menyempurnakan sepakan penalti pada saat-saat terakhir permainan.

"Ia sentiasa berlaku dalam bola sepak dan ia sememangnya amat menyedihkan.

"Insiden itu masih berada dalam fikiran saya tetapi saya tidak akan berputus asa dan akan bangkit semula," kata Adisak.

Sementara itu, pengendali Thailand, Milovan Rajevac, mengakui skuad Harimau Malaya berhak untuk ke pentas akhir.

"Tahniah buat Malaysia kerana mereka berhak ke pentas akhir.

"Kami memiliki peluang menerusi sepakan penalti, namun gagal mengambil peluang itu dengan baik.

"Ia merupakan perkara biasa dalam bola sepak," katanya.